Thursday, September 2, 2010

Sahabat Nabi: Abu Ubaidah Ibn Al-Jarrah

Rasulullah saw pernah bersabda;

“Sesungguhnya dalam setiap kaum terdapat orang yang jujur. Orang yang jujur di kalangan umatku adalah Abu Ubaidah al Jarrah.”
Dalam hadis yang lain Rasulullah saw bersabda lagi.

“Tiap-tiap umat ada orang yang memegang amanah. Dan pemegang amanah umat ini ialah Abu Ubaiodah al Jarrah.”
Nama sebenarnya Amir bin Abdullah bin Al Jarrah bin Hilal Al Fihri Al Quraisy. Terkenal dengan nama Abu Ubaidah Al Jarrah. Beliau lahir di Mekah dari sebuah keluarga Quraisy yang terhormat. Termasuk orang yang awal masuk Islam, selepas Abu Bakar as Siddiq.

Beliau salah seorang sahabat yang dijamin masuk Syurga. Berperawakan tinggi, kurus, berwibawa, bermuka ceria, selalu merendah diri dan amat pemalu. Kerana itu beliau disenangi oleh mereka yang mengenalinya.

Setelah menjadi pengikut Nabi Muhamad saw, Abu Ubaidah al Jarrah sanggup menghadapi kesulitan dan bersifat berani ketika berada di medan perang. Beliau mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah saw. Dalam perang Badar Abu Ubaidah al Jarrah cuba mengelak dari bertembung dengan ayahnya yang berada dalam pasukan Quraisy yang menentang Rasulullah saw.

Tetapi ayahnya telah bersumpah hendak membunuh anaknya sendiri kerana menjadi pengikut Muhamad. Abdullah terus memburu anaknya hingga suatu ketika Abu Ubaidah al Jarrah terpaksa berdepan dengan ayah sendiri. Dalam pertarungan itu Abu Ubaidah al Jarrah terpaksa membunuh ayahnya. Beliau berasa amat sedih sehingga turun ayat Al-Quran surah Al Mujadalah ayat 22 yang bermaksud.

Engkau tidak menemukan kaum yang beriman kepada Allah dan hari kiamat yang mengasihi orang-orang yang menentang Allah dan Rasulullah, walaupun orang tersebut ayah kandung, anak, saudara atau keluarganya sendiri. Allah telah mematri keimanan di dalam hati mereka dan mereka dibekali pula dengan semangat. Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, mereka akan kekal di dalamnya. Akan menyenangi mereka, di pihak lain mereka pun senang dengan Allah. Mereka itulah perajurit Allah, ketahuilah bahwa perajurit Allah pasti akan berjaya.” (Al Mujadalah ayat 22)
Semasa berlakunya perang Uhud, Rasulullah saw terkena anak panah yang dilepaskan musuh lalu tersangkut pada rahang baginda. Abu Ubaidah al Jarrah mencabut anak panah itu dengan giginya sehingga giginya tercabut. Rasulullah saw memberinya gelaran “Gagah dan Jujur”.

Suatu hari datang satu rombongan dari Najran menemui Rasulullah saw lalu meminta baginda menghantar seorang yang boleh dipercayai bagi menyelesaikan pertengkaran di kalangan mereka serta mengajar agama Islam. Rasulullah saw berjanji akan menghantar seorang sahabat yang gagah dan jujur. Sehubungan dengan itu Umar al-Khattab berharap beliau yang akan dipilih Rasulullah saw tetapi orang yang berani dan jujur yang dimaksudkan itu ialah Abu Ubaidah al Jarrah.

Beliau juga seorang yang zuhud, tidak tamak kuasa dan harta. Di bawah pemerintahan khalifah Umar al Khattab, Abu Ubaidah al Jarrah dilantik menjadi ketua pasukan tentera Islam bagi menakluk kota-kota besar yang berada di bawah pemerintahan Rom seperti Kota Damsyik, Syria, Syam, Kota Aleppo, Kota Hims, Kota Antakiah dan Kota al Quds di Baitul Maqdis.

Ketika khalifah Umar al Khattab berkunjung ke Baitul Maqdis, beliau singgah di rumah Abu Ubaidah al Jarrah. Dilihatnya yang ada dalam rumah ketua panglima Islam itu hanyalah pedang, perisai dan pelana kuda sahaja.

“Wahai sahabatku, mengapa engkau tidak mengambil sesuatu dari harta rampasan perang sebagaimana orang lain mengambilnya?” Tanya Umar al Khattab.

“Wahai Amirul Mukminin, ini saja sudah cukup bagiku,” jawab Abu Ubaidah al Jarrah.
Saidina Umar al Khattab melantik Abu Ubaidah al-Jarrah memimpin tentera Islam bagi merebut kembali kawasan tanah Arab yang dijajah oleh kerajaan Rom. Beliau berjaya dalam tugas yang diberikan itu sehingga berjaya menakluk Baitul Maqdis.

Setelah menyelesaikan tugasnya, berlaku wabak penyakit Taun di Syam. Khalifah Umar al-Khattab mengirim surat memanggil Abu Ubaidah al Jarrah pulang ke Madinah namun beliau menolaknya kerana tidak sanggup membiarkan penduduk Syam dan tenteranya dalam bahaya sedangkan dia melarikan diri. Beliau menulis surat kepada Umar al Khattab.

“Wahai Amirul Mukminin! Sebenarnya saya tahu tuan memerlukan saya, akan tetapi saya sedang berada di tengah-tengah tentera Muslimin. Saya tidak ingin menyelamatkan diri sendiri dari musibah yang menimpa mereka dan saya tidak ingin berpisah dari mereka sampai Allah sendiri menetapkan keputusannya terhadap saya dan mereka. Oleh sebab itu, sesampainya surat saya ini, tolonglah jangan paksa saya pulang ke Madinah dan izinkanlah saya tinggal di sini.”

Setelah Umar al Khattab membaca surat itu, beliau menangis sehingga para sahabat menyangka Abu Ubaidah al Jarrah sudah meninggal. Umar menjawab, kematiannya sudah di ambang pintu.

Sebelum meninggal dunia Abu Ubaidah al Jarrah sempat berpesan kepada tenteranya, “Dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat, puasalah di bulan Ramadhan, berdermalah, tunaikanlah ibadah haji dan umrah, saling nasihat menasihatilah. Berilah nasihat kepada pimpinan kamu, jangan menipu, jangan terpesona dengan harta dunia. Sesungguhnya Allah telah menetapkan kematian untuk setiap manusia, kerana itu semua manusia pasti akan mati. Orang yang paling beruntung adalah orang yang paling taat kepada Allah dan paling banyak bekalnya untuk akhirat.”

Setelah Abu Ubaidah al Jarrah meninggal dunia, Muaz bin Jabal mengambil alih tempatnya lalu berucap di hadapan orang ramai.

“Wahai sekalian kaum Muslimin! Kamu sudah dikejutkan dengan berita kematian seorang pahlawan, yang demi Allah saya tidak menemukan ada orang yang lebih baik hatinya, lebih jauh pandangannya, lebih suka terhadap hari kemudian dan sangat senang memberi nasihat kepada semua orang. Oleh sebab itu kasihanilah beliau, semoga kamu akan dikasihani Allah.”

Abu Ubaidah al Jarrah meninggal dunia pada tahun 18 Hijrah di Urdun dalam wilayah Syam. Jenazahnya dikebumikan di kawasan yang pernah dibebaskannya daripada kekuasaan Rom dan Parsi. Ketika itu beliau berumur 58 tahun.

Credit to: latiptalib.blogspot.com

Thursday, August 26, 2010

Dua penghuni Neraka

Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab Shahihnya,hadis no: 2128, Rasulullah SAW bersabda:
Terdapat dua golonganpenghuni neraka yang saya tidak akan jumpa: (Pertama) Orang yang memiliki alatpemukul seperti ekor lembu yang mereka menggunakannya untuk memukul orang dan(Kedua) wanita yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung lagimencenderungkan. Kepala mereka seperti bonjol unta yang condong ke sebelah.Mereka tidak akan memasuki syurga dan tidak akan menghidu baunya sekalipun bausyurga itu dapat dihidu dari jarak yang sekian-sekian.”
gambar-api.jpg  
Hadis ini mengandungi beberapa pengajaran menarik yang ingin saya kongsikan bersama para pembaca sekalian, agar kita sama-sama dapat mengambil iktibar. Hadis ini dimulai dengan penjelasan tentang dua golongan penghuni neraka yang Rasulullah SAW tidak akan jumpa. Ertinya dua golongan tersebut ialah dari kalangan mereka yang hidup selepas kewafatan Rasulullah. Ini merupakan salah satu bukti kebenaran hadis-hadis baginda, di mana apa yang baginda ramalkan seribu empat ratus tahun yang lalu benar-benar berlaku.

Sahabat Nabi: Salim Maula Abu Hudzaifah

Pada suatu hari, Rasulullah saw. berpesan kepada para sahabatnya, “Belajarlah Al Qur'an daripada empat orang: Abdullah bin Mas'ud, Salim Maula Abu Hudzaifah, Ubai bin Ka'b dan Muadz bin Jabal."

Kita sudah berkenalan dengan Abdullah bin Mas'ud, Ubai dan Muadz. Jadi, siapakah pula sahabat yang keempat yang dijadikan Rasulullah sebagai rujukan untuk mengajarkan AI Qur'an?

Dialah Salim Maula (hamba yang dibebaskan oleh) Abu Hudzaifah. Dahulunya, beliau merupakan seorang hamba yang dijual beli, lalu Islam mengangkat martabatnya, sehingga beliau dijadikan anak angkat oleh seorang tokoh Islam terkemuka, yang sebelum masuk Islam juga seorang bangsawan dan pemuka Quraisy.
Selepas Islam menghapuskan budaya anak angkat ketika itu, beliau menjadi saudara dan kawan rapat kepada orang yang memerdekakannya, yaitu sahabat mulia Abu Hudzaifah bin Utbah. Berkat kurnia dan nikmat daripada Allah ta'ala, ruhiyah, tingkahlaku dan ketakwaan Salim mencapai ke puncaknya, sehinggakan beliau disegani dan dihormati oleh rakan-rakannya sesama muslim.

Sahabat Nabi: Jaafar ibn Abi Talib

Golongan pertama yang memeluk Islam: 

Nama beliau ialah Jaafar bin Abi Talib bin Abdul Muttalib. Manakala gelaran beliau pula ialah Abi Masakin kerana terlalu suka kepada fakir miskin serta berlemah-lembut dan berbuat baik kepada mereka.Beliau merupakan sepupu Nabi s.a.w. Jaafar bin Abi Talib memeluk Islam bersama-sama kumpulan pertama yang mendahului orang lain. Oleh itu beliau tergolong di dalam golongan orang yang awal memeluk Islam.
Penghijrahan beliau ke Habsyah:- Oleh kerana Jaafar dan isterinya Asma' binti Amis menghadapi penyeksaan yang sangat kuat dari kaum musyrikin, akhirnya mereka diizinkan oleh Rasulullah s.a.w untuk berhijrah bersama orang-orang yang berhijrah ke Habsyah tempat Raja Najasyi.
- Setelah Quraisy mengutuskan Amru bin Al-As (sebelum beliau memeluk Islam) dan Abdullah bin Abi Rubai'ah menemui Raja Najasyi dengan membawa hadiah kepadanya dan kepada paderi-paderinya supaya Raja Najasyi menyerahkan kembali muhajirin dari kalangan umat Islam. Peranan Jaafar bin Abi Talib mula terserlah di dalam percakapannya dengan Raja Najasyi. Ummu Salamah r.a yang merupakan salah seorang dari kalangan umat Islam yang berhijrah ke Habsyah berkata: "kemudian Raja Najasyi meminta kami supaya berjumpa dengannya. Sebelum berjumpa dengan beliau, kami membuat perbincangan di antara kami. Lantas sebahagian di antara kami berkata: Sesungguhnya raja akan bertanya tentang agama kamu dan sudah pasti kamu akan membongkar segala keimanan kamu ini, biarlah Jaafar sahaja yang bercakap di kalangan kamu manakala yang lain hendaklah diam sahaja". Ummu Salamah berkata lagi: Kemudian kami berjumpa dengan Raja Najasyi dan kami dapati beliau telah menjemput para paderinya yang berada di sebelah kiri dan kanan beliau dalam keadaan memakai pakaian labuh dan memakai penutup kepala mereka sambil membuka kitab yang berada di tangan mereka dan kami dapati Amru bin Al-As serta Abdullah bin Abu Rubai'ah juga berada di sisi Najasyi tersebut. Setelah kami mengambil tempat masing-masing di dalam majlis tersebut Najasyi terus berpaling kepada kami dan berkata: Apakah dia agama yang kamu cipta untuk diri kamu ini menyebabkan kamu memecahbelahkan agama kaum kamu dan kamu tidak memeluk agama aku dan kamu juga tidak memeluk mana-mana agama dari agama ini?. 

Friday, August 20, 2010

Sahabat Nabi: Abdullah Ibn Umm Maktum

Dia bermasam muka dan berpaling. Kerana datangnya seorang yang buta. Padahal adakah memberitahumu boleh jadi dia akan akan menjadi orang yang suci? Atau dia akan ingat lalu memberi manfaat kepadanya ingatan itu? Adapun terhadap orang yang telah merasa cukup, maka engkau hadapkan perhatian itu kepadanya. (Surah Abasa 80: 1 – 6)

Kali ini terasa kelainanya. Boleh jadi juga kerana tajuk talk bulan ini tajuk yang paling diminati. Apatah lagi ia membicarakan peribadi generasi yang amat hampir dengan seorang Nabi yang ummi. Abdullah Ibn Umm Maktum si buta yang celik hatinya, namanya terbaris sebagai seorang generasi al-Quran yang unik bahkan kerana dia dua kali ayat-ayat Allah turun membasahi bumi.
Nabi Muhammad saw bersabda: Sahabat-sahabatku umpama bintang di langit. (Hadith sahih Riwayat al-Bukhari) Bintang di langit peranannya bukan sahaja menemani malam dengan penuh setia tetapi bersinar-sinar dan menjadi pedoman bagi pengembara. Begitulah bandingan sahabat Nabi yang setia itu, peribadi dan sifat-sifat mereka sebagai generasi al-Quran yang amat unik ini menjadi suatu ciri yang boleh dipedomani oleh kita dalam kehidupan.
Dia bersama Mus’ab Ibn Umair r.a meredah padang pasir menjadi golongan sahabat yang pertama berhijrah di Madinah. Bayangkan si buta dan si Muda Mus’ab diberikan tanggungjawab yg amat besar oleh Rasulullah saw. Pejam mata sejenak dan bayangkan seorang yang buta mengatur langkah hijrah yang pertama ini. Bayangkan juga Mus’ab yang memimpin musafir yang penuh bahaya itu. Andai dia tersalah langkah, andai musyrikin menghidu jejaknya, bukan sahaja nyawanya akan melayang, tetapi nyawa saudaranya yang buta dan masa depan dakwah di Yathrib sebelum Rasulullah berhijrah.

Dipendekkan cerita, tidak ada satu rumahpun yang tidak mendengar tentang Islam sebelum kedatangan Nabi. Dan inilah jasa dua manusia unggul ini. Abdullah Ibn Ummi Maktoum dan Mus’ab Ibn Umair.

Setelah Nabi Muhammad saw tiba di Madinah, baginda menetapkan tiga asas utama dalam pembinaan negara Islam Madinah. Pertama ialah persaudaraan, kedua ialah institusikan masjid sebagai medan dan pusat kehidupan dan ketiga ialah kepimpinan dan pelembagaan madinah. Tiga asas ini menjadi mudah untuk Rasulullah saw laksanakan hasil dari jejak-jejak hijrah yang pertama dan jasa para Sahabat r.a termasuklah si buta Abdullah Ibn Ummi Maktum ini.
Sekumpulan para Sahabat r.a dipersaudarakan oleh Rasulullah saw. Abdullah Ibn Ummi Maktoum ini dipersaudarakan dengan Bilal bin Rabah r.a. Si hitam yang dulunya hamba teraniaya tetapi setelah Islam maruahnya diletakkan sebaris dengan Umar al-Khattab, Abu Bakar al-Siddiq, Ammar bin Yasir, Ibn al-Jarrah. Malah sebaris dalam saf-saf solat di Masjid yang pertama di atas dunia.
Lalu bersahabat si buta dan si hitam ini. Tetapi mereka ini bukan calang-calang orang. Si hitam inilah yang suara takbir azannya mencecah awan, menembusi langit yang tujuh. Si buta inilah juga dilantik oleh Rasulullah saw sebagai ‘khalifah’ baginda 13 kali banyaknya iaitu sewaktu Nabi mengetuai ekspedisi dan peperangan menentang musuh Islam. Maka madinah dan seisi penduduk menjadi amanah Abdullah Ibn Ummi Maktum sewaktu baginda mengetuai ekspedisi di luar kota Madinah.
Si buta inilah yang dari jauh merayu-rayu kpd Rasulullah, wahai suami sepupuku (khadijah) ajarkan kepadaku apakah wahyu yang turun kepadamu hari ini?
Inilah rutin Abdullah dari kejauhan dan itulah yang berlaku dalam satu pertemuan Nabi bersama golongan pembesar Quraisy sehingga berubah air muka Rasul di atas kunjungan itu. Bukan Abdullah tidak tahu adanya tetamu besar bersama Nabi tetapi jiwanya yang merindui ayat-ayat al-Quran setiap hari menjadikan raganya kehausan al-Quran dan ternanti-nanti ayat-ayat yang baru.
Lalu turunlah wahyu menegur baginda dengan firman-Nya:

Dia bermasam muka dan berpaling. Kerana datangnya seorang yang buta.
Padahal adakah memberitahumu boleh jadi dia akan akan menjadi orang yang suci?
Atau dia akan ingat lalu memberi manfaat kepadanya ingatan itu?
Adapun terhadap orang yang telah merasa cukup, maka engkau hadapkan perhatian itu kepadanya.
(Surah Abasa 80: 1 – 6)

Siapakah Ibn Umm Maktum ini wahai Nabiku? Sehinggakan Allah menurunkan wahyu padamu kerananya? Sejak itu, Rasulullah saw dari jauh lagi mengalu-alukan kehadiran Abdullah, ‘telah datang sepupu isteriku yang kerananya turun wahyu menegurku’ .. Ibn Umm Maktum mempunyai pertalian saudara dengan isteri Rasulullah s.a.w iaitu Khadijah binti Khuwailid. Beliau antara penduduk Mekah yang awal memeluk Islam.
Bagaimanakah seorang buta membuat penilaian dan memilih untuk memeluk Islam? Tidak takutkah si buta ini pada halangan dan juga ancaman yang dahsyat dari kumpulan Quraisy? Sudahlah matanya buta, bagaimana sekiranya tubuhnya dicedera atau dipukul dan diazab oleh Quraisy yang berkuasa? Bukankah era dakwah di Mekah ketika itu tertekan dengan suasana yang dipantau dengan ketat, diancam dengan penjara dan azab? Bahkan banyak percubaan untuk membunuh Rasulullah, menangkap para sahabat r.a dan juga mengazabkan golongan miskin yang Islam? 
Mereka ingin melenyapkan cahaya Allah (Islam, al-Quran dan mesej dakwah Rasulullah) dengan mulut-mulut mereka (arahan, ancaman, perintah, kuatkuasa undang-undang dsb), tetapi Allah akan sempurnakan cahaya-Nya sekalipun orang-orang yang kafir itu amat membencinya. Dia-lah yang mengutuskan rasul-Nya dengan hidayah dan agama yang benar mengatasi agama (cara hidup) yang lain, sekalipun golongan yang syirik itu amat membencinya. (Al-Saf 8-9).
Apabila hidayah dan nur daripada Allah ini ingin menyinar, ia akan menembusi jua walaupun dalam ruang yang sempit. Nur itulah yang membuka mata hatinya sehingga Ibn Umm Maktum sekalipun buta tetapi ‘melihat’ kebenaran.
Rasulullah s.a.w diberi peringatan oleh Allah bahawa Ibn Maktum ini lebih besar harapannya dan jiwanya lebih berkembang dan meningkat menjadi seorang yang suci dan bersih hatinya. Meskipun buta matanya, kalau jiwa bersih, kebutaan bukan beban dan tidak juga menghambat peningkatan iman seseorang. Manakala mereka yang golongan yang telah merasa cukup dan tidak perlu ditunjuk jalan, pintar dan berasa diri lebih kaya, golongan ini bukan lah prioriti untuk diberikan perhatian. Bahkan menurut mufassir golongan ini akan datang kepada agama setelah kemenangan untuk mengaut keuntungan dan ada kepentingan.
Bayangkan sehalus itu kritikan Allah mengajar Nabi s.a.w. Ciri dan sikap Abdullah Ibn Umm Maktum ini lebih wajar untuk dipedomani oleh generasi umat Islam. Manakala ciri kedua pula adalah sifat-sifat yang mesti dijauhi.

Setelah Rasulullah saw wafat, Bilal r.a membawa diri ke Syria lantaran kesedihan yang amat terdapat kehilangan Nabi. Apalah ertinya lagi apabila kekasih yang mulia hilang di mata. Bilal r.a menyertai ekspedisi pembukaan kota-kota dan membawanya sehingga ke utara Syria. Manakala Ibn Umm Maktum terus berada di Madinah sehinggalah saat umat Islam bersiap siaga untuk menyertai peperangan al-Qaadisiyyah iaitu peperangan yang akan menentukan jauh bangunnya empayar Islam dan menamatkan kekejaman Byzantine. Jika tentera Muslimin menang, maka jatuhlah sebuah empayar yang digeruni dan tamatlah penindasan ke atas rakyat dan jajahan taklukannya.
Abdullah yang sejak hayat Rasulullah meronta-ronta untuk ke medan jihad, akhirnya memohon khalifah Umar al-Khattab membenarkan dia pergi.
‘Wahai Umar, tentera Islam memerlukan seorang yang tetap memegang panjinya. Berikanlah tanggungjawab itu kepadaku.
Aku ini buta, akan kuredah semua di hadapanku, engkau akan perlukan orang yang tidak akan menjatuhkan atau membuatkan panji Islam tergelincir. Orang itu ialah aku. aku akan mara tatkala orang lain mengelak tikaman tetapi aku tidak, dan engkau perlukan seseorang sepertiku’..(ulang Abdullah berkali-kali)

Umar berfikir panjang. Abdullah Ibn Umm Maktum bukan calangan orang. Dia telah Islam sewaktu orang-orang lain termasuk dirinya masih kufur. Dia telah berhijrah sewaktu orang-orang lain masih berlindung di Makkah. Dia telah mengislamkan penduduk Madinah sebelum Rasulullah tiba. Malah dia berada di saf yang awal dalam solat sebaris dengan sahabat-sahabat lain yang mulia. Bahkan kerananya dua kali ayat-ayat al-Quran turun ke dunia.

Maka atas alasan apakah lagi untuk dia menolak permintaan itu. Sejarah gemilang Abdullah di medan tempur ini dirakamkan oleh Anas yang melihat sendiri Ibn Ummi Maktum ini berjuang di bawah ribuan tentera pimpinan Saad Ibn Abi Waqas. Akhirnya beliau diterima sebagai sahabat yang syahid oleh Allah swt.

Rasulullah saw pernah bersabda maksudnya: Apabila menjelang fajar tunggulah azan Bilal bin Rabah, apabila ingin solat fajar tunggulah azan Ibn Umm Maktum. Bilal r.a dan Ibn Umm Maktum ini bergilir saban hari melaungkan azan di Madinah. Itulah rutin dua muazzin Rasulullah s.a.w ini. Cumanya, bagaimana seorang yang buta tahu bilakah waktu solat bermula?
Talk pada hari itu diakhiri dengan penjelasan.. Because he could smell the fajr… his heart beat with the sun.  

Moga-moga Allah menambah iman kita walau hanya sedetik. 

Credit to: www.Cheadek.wordpress.com

Selepas 7 tahun berlalu..:)

Cepat benar masa berlalu kerana diam tak diam sudah melepasi 7 tahun (2011 - 2018) saya mengalami kecederaan tulang belakang di Lumbar (L4/...