Thursday, February 21, 2013

Jernih Vs. Keladak

Salam,

Beruntunglah orang yang dilahirkan dengan memiliki hati yang bersih dan jernih. Dengan izin Allah s.w.t kita akan berjumpa dengan seseorang yang memiliki hati seperti ini dalam peringkat kehidupan kita. Orang yang memiliki hati yang jernih amat mudah untuk didampingi, suka menolong orang, bila bercakap tiada maksud tersembunyi..yang pasti bunyinya memang ikhlas dari hati. Lihat saja pada air yang jernih..maka seperti itulah sifatnya bersih, can see through.., tiada yang tersembunyi, menyejukkan dan menghilangkan rasa dahaga. Hati yang bersih ini boleh dibentuk/digilap antaranya melalui beramal/melakukan pekerjaan dengan niat yang betul, zikrullah, amal soleh, ikut quran..pendek kata apa saja jalan yang mendekatkan diri dengan Allah maka hati yang kotor boleh kembali jernih dengan izin Allah. 

Jika hati jernih- tiadalah sifat hasad dengki, iri hati, suka mengata, berprasangka buruk dan segala macam sifat negatif yang tidak sihat. Seperti Air yang berkeladak..apa warnanya? Kelabu? Kuning? Hitam? Sikap mazmumah seperti ini berada dalam diri dan ia akan merosakan si pelaku secara perlahan-lahan..sama ada dalam sedar atau tidak. Orang yang suka memperkecilkan orang lain dan meremehkan orang lain sebenarnya dia sedang memperlekehkan diri sendiri. Firman Allah:


Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.


Orang yang sentiasa menghargai dan mengakui kehebatan orang lain adalah sebenarnya orang yang hebat dan mempunyai harga diri. Air yang keladak tiada manfaat malah membawa mudharat. 

Allah memang menciptakan manusia itu ada yang baik dan ada manusia yang jahat..sebagaimana Allah ciptakan Tholut untuk menentang Jalut.., Allah cipta Firaun, Kaum Nabi Luth, Kaum Tsamud, Kaum Nabi Nuh a.s, Raja Namrud, Saudara Kandung Nabi Yusuf a.s, Kaum 'Aad adalah untuk kita mengambil ikhtibar bahawa supaya jangan ikut jejak langkah mereka. Allah ciptakan orang yang baik seperti barisan pada nabi dan rasul, orang-orang yang beriman, para sahabat Nabi Muhammad s.a.w dan orang seperti ini sentiasa mendapat pertolongan Allah untuk  melenyapkan kejahatan. Sebagaimana firman Allah:


Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.



Pada zaman ini ada/wujud orang yang bersifat seperti sifat Raja Firaun, Raja Namrud dan kaum-kaum yang menzalimi diri mereka sendiri. Jika mereka sedar/diberi peringatan/diberikan hidayah oleh Allah maka akan terlepaslah diri mereka itu dari Azab dan seksaan Allah. Malah ada juga orang yang berhati mulia yang sentiasa cintakan kebenaran. Sepanjang zaman-orang yang jahat itu tidak akan dapat mengatasi  orang yang baik kerana orang yang baik sentiasa mendapat pertolongan dan rahmat dari Allah. Firman Allah:


Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.(At-Taubah 9:71)


Peringatan Allah dalam Al-furqan adalah untuk kita berfikir, bertadabbur supaya kita tidak ikut jejak langkah orang yang berkeladak hatinya. Semoga dengan memandang air yang jernih dan air yang berkeladak, akan dapat membuka pintu hati kita untuk sentiasa berfikir dan  istiqamah melakukan kebaikan dan menolak untuk melakukan kejahatan yang menjadi asbab hati kita menjadi kotor, hitam dan berkeladak.

Saya doakan anda semua dirahmati dan diampunkan oleh Allah. Sayang saya kepada saudara semua adalah kerana Allah. Saya mengajak anda semua delete sifat-sifat negatif yang ada dalam diri. Saya menyeru anda semua agar sentiasa mendoakan saudara-saudara/sahabat handai agar diberikan petunjuk jalan yang lurus. Percayalah dengan mendoakan orang lain, kita juga akan didoakan oleh Malaikat.




2 comments:

Selepas 7 tahun berlalu..:)

Cepat benar masa berlalu kerana diam tak diam sudah melepasi 7 tahun (2011 - 2018) saya mengalami kecederaan tulang belakang di Lumbar (L4/...