Berburuk Sangka

Saturday, July 24, 2010
Dalam peluang kali ini saya ingin berkongsi sebuah nasihat dari al-Qur’an, iaitu ayat 12 surah al-Hujurat. Dalam ayat tersebut Allah SWT berfirman, maksudnya:
whispering_logo.jpg
 
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
 
 
Ayat ini Allah mulai dengan seruan “Wahai orang-orang yang beriman…” bererti ia ditujukan kepada kita semua mukminin dan mukminat. Tentu sahaja seruan ini memiliki nilai nasihat yang penting sesudahnya, sekali gus membangkitkan perhatian kita semua. Nasihat itu ialah: “Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”
 
Sangkaan ialah apa yang kita memberitahu diri kita sendiri, sama ada dalam minda, hati atau kedua-duanya. Atas dasar inilah bersangka baik atau buruk adalah relatif sekalipun terhadap individu yang sama. Izinkan saya memberi contoh tiga rakan sebilik, Sakinah, Aini dan Rohayu. Sakinah disangka baik oleh rakan sebiliknya Aini, tetapi disangka buruk oleh rakan sebiliknya Rohayu. Kenapa wujud perbezaan ini sekalipun terhadap orang yang sama (Sakinah)? Ia disebabkan oleh apa yang diberitahu oleh Aini dan Rohayu kepada diri mereka masing-masing.
 
Oleh kerana Aini memberitahu dirinya bahawa Sakinah ialah seorang yang baik, maka dia bersangka baik terhadap Sakinah. Manakala oleh kerana Rohayu memberitahu dirinya bahawa Sakinah ialah seorang yang tidak baik, maka dia bersangka buruk terhadap Sakinah. Percaya atau tidak, sangkaan baik dan buruk tidak lebih ialah apa yang diberitahu oleh seseorang itu kepada dirinya sendiri.
 
Lebih dari itu, kita sebagai manusia memiliki satu kelemahan yang menyebabkan sangkaan lazimnya condong ke arah berburuk sangka. Entah mengapa, manusia cenderung mengintip dan mencari-cari kesalahan orang lain. Selagi tidak ditemui kesalahan, kekurangan dan kecacatan, selagi itulah manusia akan terus mengintip dan mencari-cari. Atas kecenderungan ini, manusia mudah lagi pantas berburuk sangka sekalipun hasil intipan dan pencarian mereka tidak membuahkan apa-apa bukti yang kukuh mahupun muktamad.
 
Hasil intipan dan pencarian itu pula segera disebarkan kepada orang ramai sehingga menjadilah ia satu umpatan. Umpatan ini merebak sebegitu pantas sehingga mangsa umpatan diburuk sangka oleh sekian ramai orang sekalipun oleh mereka yang tidak mengenalinya. Masing-masing memberitahu dirinya bahawa orang itu “tidak baik” berdasarkan umpatan yang berakar umbi dari intipan dan pencarian yang sejak awal didirikan atas kecenderungan ke arah kesalahan.
Allah sebagai Tuhan yang mencipta manusia amat mengenali kecenderungan ini di kalangan manusia, maka kerana itulah Dia berfirman: “…janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain.”
Rasulullah SAW memperincikan lagi sifat manusia ini dengan sabda baginda: “Berhati-hatilah kalian terhadap prasangka kerana sesungguhnya ia adalah perkataan yang paling dusta. Dan janganlah saling mencari-cari khabar kesalahan, janganlah saling memata-matai, janganlah saling meninggikan harga untuk menarik perhatian pembeli, janganlah saling mendengki, janganlah saling membenci dan janganlah saling membelakangi. Wahai para hamba Allah! Jadilah kalian bersaudara.” [Shahih al-Bukhari, no: 6066]
Hanya sebahagian kecil dari sangkaan adalah benar, iaitu sangkaan yang didirikan atas bukti yang kukuh lagi muktamad. Namun nisbah sangkaan yang benar lebih kecil berbanding sangkaan yang salah. Oleh kerana itulah Allah menyuruh kita menjauhi sebahagian besar dari sangkaan.
Mukminin dan mukminat yang suka mengumpat diumpamakan oleh Allah sebagai: “Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.” Sukakah seseorang itu memakan daging manusia? Tentu tidak. Sukakah memakan daging manusia yang sudah meninggal dunia? Tentu juga tidak. Jika tidak suka, maka tahanlah diri dari mengumpat kerana ia adalah satu perbuatan yang amat jijik, sejijik orang yang makan daging manusia yang sudah mati.
Lalu bagaimanakah keadaannya jika orang yang kita umpat benar-benar melakukan kesalahan itu? Katakanlah Sakinah benar-benar suka merokok, padahal merokok hukumnya haram kerana kerosakan yang ia bawa kepada diri perokok dan orang di sekelilingnya. Jika Rohayu mengetahui Sakinah seorang perokok secara pasti, adakah termasuk dalam kategori pengumpat jika dia memberitahu rakan-rakannya yang lain bahawa “Sakinah hisap rokok!”?
Jawapannya “Ya”, itu termasuk mengumpat. Kewajipan Rohayu ialah menegur Sakinah secara tertutup akan kesalahannya merokok. Menceritakan kesalahan Sakinah kepada orang lain ialah mengumpat yang dilarang oleh Islam manakala menegur kesalahan itu secara tertutup kepada Sakinah ialah akhlak mulia yang dituntut oleh Islam.
Sebagai penutup Allah berfirman: “…bertakwalah kamu kepada Allah.” Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah dengan menjauhi larangan-larangan-Nya di atas. Tahanlah diri dan berpalinglah dari apa-apa lintasan untuk berburuk sangka, mengintip, mencari-cari kesalahan dan mengumpat. Seandainya kita terlanjur melakukannya, segeralah bertaubat kepada Allah kerana “…sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

taken from: Hafiz.firdaus.com 

Masa kita Di Dunia..

Friday, July 16, 2010

Allah kata dalam Quran: Satu hari di Akhirat adalah bersamaan 1000 tahun di dunia.

Jika umur kita panjang dan diizinkan Allah untuk hidup selama 100 tahun sebenarnya kita hanya mampu hidup hanya beberapa jam/minit jika dihitung dengan masa Akhirat.

Contoh:

1 Hari Akhirat = 1000 tahun dunia

1 Hari Akhirat = 24 Jam (andaian)

jika kita hidup 100 tahun = 100/1000*24 = 2.4 jam Akhirat

1 Jam = 60 minit

2.4 Jam = 144 minit

Perbandingan 100 tahun hidup di dunia adalah sama dengan 144 minit hidup di akhirat..tak lama bukan..? Perumpamaan kita di dunia ini adalah sebagai transit sahaja sebelum menuju kehidupan yang abadi. Umpamanya macam kita dalam perjalanan di lebuhraya dan singgah di R&R untuk melepaskan lelah..tapi dalam masa transit itulah kita sempat membuat kerosakan - conteng dinding tandas, buang sampah, cabut tombol pintu, cantas pokok dan sebagainya..

Itulah analoginya kita didunia ini ..Dalam masa transit yang sekejap ini kita lupa pada Allah, Ingkar dengan perintahNya..meninggalkan Quran, hasad dengki sesama manusia dan berbagai lagi kerosakan. Mengingatkan diri kamu adalah mengingatkan diri saya juga. Kita akan dijemput pulang satu hari nanti..itu yang pasti..

Allah turunkan AlQuran sebagai kitab yang memberi petunjuk. Petunjuk ke jalan yang lurus..kitab yang memimpin kita ke syurgaNya tapi kita lebih mudah memilih buku lain dari kitab yang satu ini. Ringkasnya: Kitab ini petunjuk ke Syurga.

Kita sudah tahu kitab ini yang membawa kita ke syurga..justeru kita tidak perlu berlengah lagi...lancarkan serangan ke atas musuh kita yang sering menjauhkan kita dari syurga Allah..syaitan adalah musuh kita yang nyata..perbuatlah dia seperti musuh kerana dia menganggap kita sebagai musuhnya.

Serang dengan apa..? Tawakal kpd Allah, Doa, taawuz dan berbagai lagi senjata yang Allah bekalkan dalam al-quran. Dari Ibn 'Abbas RA katanya sabda Rasulullah SAW:

"Syaitan itu duduk mencangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut Allah ia akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai ia akan membisikkan kejahatan."

100 tahun hidup di dunia hanya bersamaan 144 minit di Akhirat..Dunia adalah sementara dan kehidupan yang kekal adalah di negeri Akhirat..penuhi 100 tahun dengan amalan yang berfaedah, memenuhi janji Allah untuk ke Syurga.

Memburu Cinta Fatamorgana

Wednesday, July 14, 2010
Kali ini izinkan saya menulis tentang cinta orang tua. Mungkin ini berguna bukan hanya untuk orang tua, tetapi juga orang muda. Sejak kebelakangan ini terasa benar usia telah senja. Ketika melihat dan mengurut badan ayah yang telah tua baru-baru ini, saya mudah letih.

Barulah saya sedari bahawa yang mengurut (saya sendiri) rupa-rupanya telah tua. Ya Allah, semakin tawar kemanisan dunia di lidah, mata, telinga dan seluruh panca indera ku. Jemputan untuk pulang mula mengimbau…

Inilah hakikat dunia. Yang halalnya dihisab, yang haramnya diazab. Segalanya bagaikan fatamorgana jika tidak dijadikan ibadah dan dijadikan alat untuk meraih taqwa. Kemanisannya… sebentar cuma.

Bagaikan semalam keremajaan ku yang telah berlalu. Bagaikan sedetik keindahan yang diburu dulu. Ya Allah, kurniakan kami hati yang mudah dibawa kepada MU. Jangan bebankan kami lagi dengan ujian keindahan-keindahan fatamorgana yang telapun menipu kami berulang-ulang kali.

Ya Allah kami menyerah pasrah. Jangan dibiarkan pengawasan dan pemantauan diri ini kepada diri kami sendiri. Jangan, jangan walaupun sekelip mata wahai yang Maha Pengasih. Mungkin tulisan ini akan lebih lama bertahan daripada penulisnya. Entah yang dibaca lebih lama berkekalan daripada pembacanya.

Sahabat Nabi: Salman Al-Farisi

Sunday, July 11, 2010

KEJUTAN antara senjata ampuh dalam peperangan. Itulah yang berlaku dalam Perang Khandak (Parit). Selepas kejayaan tentera Quraisy mengalahkan umat Islam pada perang Uhud, mereka ingin melakukannya lagi dalam perang Khandak pada 6 Hijrah. Dengan pakatan orang Yahudi Madinah daripada puak Bani Nadir dan jumlah tentera melebihi 10,000 pasukan, tentera gabungan kaum musyrik di bawah pimpinan Abu Sufyan ibn Harb menyerang Madinah.

Tentera Islam dengan kepemimpinan Nabi SAW hanya berjumlah 3,000 pasukan, manakala pihak musuh pula 10,000 orang. Mesyuarat pun diadakan untuk mencari kesepakatan yang terbaik dalam mempertahankan Madinah.
Nabi pun menerima cadangan itu dan memerintahkan semua sahabat untuk membuat parit di sekitar Madinah. Akhirnya mereka berhasil membuatnya dalam tempoh enam hari. Berkat parit itulah, Madinah terselamat daripada jatuh ke tangan musuh Islam. Umat Islam memperoleh kemenangan besar dalam peperangan ini dan dijadikan satu nama surah al-Quran iaitu surah al-Ahzab (Gabungan Tentera).

Antara sebab kemenangan itu adalah ada unsur kejutan dalam pembuatan parit yang tidak dikenali masyarakat Arab ketika itu. Unsur kejutan ini diberikan cadangannya oleh seorang sahabat warga asing yang berasal dari Parsi bernama Rouzbeh atau yang dikenali dalam Islam dengan nama Salman al-Farisi.

Salman al-Farisi pada awal hidupnya ialah seorang bangsawan dari Parsi yang menganut agama Majusi.

Beliau dilahirkan di kota Kazerun, Fars, Iran. Ayahnya seorang Dihqan atau pegawai daerah. Dia adalah orang terkaya dan memiliki rumah terbesar.
Sebagai seorang ilmuwan dalam agama Majusi yang tidak henti-henti mencari kebenaran, Salman kemudian menemukan agama Kristian lebih baik daripada Majusi dan melarikan diri ke Syria untuk mendalaminya. Paderi terakhir sebagai gurunya memberitahunya bahawa sudah datang seorang nabi di tanah Arab, yang memiliki kejujuran, yang tidak memakan sedekah untuk dirinya sendiri.

Salman pun ke Arab mengikuti pedagang dari Bani Kalb, dengan memberikan wang dimilikinya. Pedagang itu setuju untuk membawa Salman. Ketika tiba di Wadi al-Qura (tempat antara Syria dan Madinah), pedagang itu mengingkari janji dan menjadikan Salman bahan dagangan yang dijual kepada seorang Yahudi.

Salman pun tiba di Madinah bersama tuannya. Selepas berjumpa dengan Nabi, Salman akhirnya memeluk Islam, tapi beliau masih hidup sebagai hamba sahaya Yahudi sehinggalah dimerdekakan oleh Nabi dan sahabat selepas perang Uhud. Uniknya, sebahagian wang tebusan memerdekakan Salman itu diberikan Nabi SAW melalui penanaman 300 pokok kurma yang ditanam Baginda.

Salman bagaimanapun belum boleh mengikuti perang Uhud dan sebelumnya perang Badar kerana beliau masih menjadi budak hamba.
Betapa gembira hatinya, kenyataan diterimanya jauh melebihi apa dicita-citakan, daripada sekadar ingin bertemu dan berguru menjadi anugerah bermakna iaitu pengakuan sebagai Muslimin. Beliau diletakkan di bawah jagaan Abu Darda’ al-Ansari.
Salman al-Farisi banyak mendapat gelaran daripada Rasulullah SAW seperti disebutkan dalam beberapa hadis antaranya ‘Imam,’ ‘Benderanya Bendera,’ ‘Ahli Waris Islam,’ ‘Ilmuwan yang amat berilmu’ dan ‘Seorang Keluarga Nabi.’
Salman juga yang mencadangkan tentera Islam pimpinan Sa’ad bin Abi Waqqas untuk menyeberangi Sungai Tigris untuk menakluk tentera Parsi pada 16 Hijrah, padahal tentera Islam tidak biasa menghadapi situasi tempat yang ada sungai. Mereka hampir putus harapan bagaimana mahu menyeberanginya.
Selepas menyeberangi sungai tanpa seorang pun yang tewas dan cedera yang mana kejadian itu menakjubkan tentera Parsi dan rajanya sehinggakan mereka semua memilih untuk memeluk Islam.
Salman al-Farisi kemudian diangkat menjadi Gabenor di Parsi. Bagaimanapun, beliau tidak sombong, lalai dan tertipu dengan muslihat dunia. Beliau tidak memiliki rumah dan hanya tidur di bawah lindungan bayangan satu pohon ke pohon yang lain.

Salman al-Farisi meninggal dunia pada 33 Hijrah pada zaman Khalifah Othman ibn ’Affan, di tempat beliau dilahirkan.

MENGHARGAI SEBUAH KEHIDUPAN

Thursday, July 8, 2010
1. Gagal merancang bererti merancang untuk gagal. Hidup kita sudah terbiasa dengan pelbagai rancangan, sama ada apa yang dirancang untuk kita, atau kita sendiri merancang dengan pelbagai harapan.

2. Hidup berjalan dengan pelbagai perancangan dan jangkaan. Kita melepasi peringkat sekolah rendah – sekolah menengah – universiti – kerja – kahwin – anak – tua – pencen. Setiap peringkat itu berjaya ditempuh dengan kejayaan mengatasi kebarangkalian ia tidak berlaku. Tidak semua yang bersekolah rendah sampai ke sekolah menengah. Tidak semua yang di universiti berjaya menggenggam segulung ijazah. Belum tentu semua yang berijazah mendapat kerja. Bukan semua yang bekerja bertemu jodoh, berkahwin, beranak pinak dan mencecah usia tua.

3. Semuanya sentiasa dengan kebarangkalian harapan tidak tercapai

4. Hanya satu yang pasti berlaku iaitu MATI! Fikir mati pun mati, tak fikir mati pun mati. Bersedia untuk mati pun mati, tak bersedia untuk mati pun mati.

5. Justeru janganlah dipanggil bakal Datuk kerana mungkin tidak jadi Datuk. Jangan dipanggil bakal Puan Seri kerana mungkin tidak jadi Puan Seri.

6. Sebaliknya, WAHAI BAKAL-BAKAL JENAZAH sekalian! Itulah saya dan anda semua.

7. Islam tak mengajar kita takut dengan kematian tetapi menyedari adanya kematian di hadapan maka HARGAILAH SEBUAH KEHIDUPAN

8. Teringat kepada perbualan saya dengan ibu bapa yang anak mereka sakit jantung – jangan difikir ajal anak itu kerana mungkin doktor mati dulu kemalangan. Mungkin ibu bapa mati dulu. Mungkin saya mati dulu berbanding anak kecil yang sakit itu. Justeru janganlah dibimbangkan tentang kematian. Sebaliknya hargai setiap detik yang ada.

9. Nabi SAW bersabda: صلِّ صلاة مودِّع كأنك تراه ، فإن كنت لا تراه فإنه يراك yakni “bersolatlah kamu dengan solat perpisahan seolah-olah kamu melihat Allah. Jika kamu tidak dapat merasakan yang kamu melihat-Nya, sekurang-kurangnya rasakanlah bahawa Dia itu melihat kamu”.

10. Kita akan mati di antara dua solat. Tiada jaminan selesai solat Asar, kita sempat sampai ke Maghrib. Justeru setiap solat, lakukanlah ia sebagai solat terbaikmu.

11. Wal-‘Asr

Saifulislam.com

Sharing is caring..