Friday, October 15, 2010

BAHAYA TIDAK MEMAHAMI

بسم الله الرحمن الرحيم
:الحمد لله وكفى، والصلاة والسلام على عباده الذين اصطفى، أما بعد
سلام الله عليكم ورحمته وبركاته

Golongan yang membaca al-Qur'an tetapi tidak peduli hendak memahaminya terdedah kepada bahaya besar. Apakah bahayanya? Antara bahayanya ialah:

Teraba-raba:
Golongan yang membaca al-Qur'an tetapi tidak memahaminya, terumbang-ambing dalam kehidupan dunia ini. Ia tidak mengetahui dengan tepat tentang mana yang benar dan salah, lalu amalan yang dilakukannya berasaskan sangkaan dan ikut-ikutan belaka. Golongan inilah yang disifatkan Allah sebagai paling rugi dalam kehidupan dunia ini. Firman Allah – Ta'ala: “Katakanlah: “Mahukah kamu kami beritahu tentang orang-orang yang paling rugi amalan mereka? Iaitu, orang-orang yang terumbang-ambing usaha mereka dalam kehidupan dunia ini, padahal mereka menyangka sesungguhnya mereka sudah melakukan amalan yang baik. Mereka itu adalah orang-orang yang ingkar terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan pertemuan dengan-Nya, lalu hapuslah pahala amalan mereka dan Kami tidak akan timbang amalan mereka pada Hari Kiamat kelak. Itu, iaitu balasan buat mereka adalah neraka Jahannam disebabkan mereka ingkar dan menjadikan ayat-ayat-Ku dan para rasul-Ku sebagai olok-olokan.” (18:103-106) Sungguhpun mereka membaca al-Qur'an, tetapi mereka mengabaikan tujuan penurunannya. Maka mereka begitu tekun memelihara huruf-hurufnya, tetapi tanpa segan silu mengabaikan hukum-hakamnya. Kata 'AbdulLah bin Mas'ud – radiyalLahu 'anh: “Akan datang ke atas manusia suatu zaman: Kurangnya fuqaha', ramainya qurra', dipelihara huruf-huruf al-Qur'an, tetapi diabaikan hukum-hakamnya.” (Al-Muwatta' Malik, 2:44) Akhlaknya pada kebanyakan urusannya adalah serupa seperti akhlak orang jahil yang tidak mengetahui apa-apa. Tilawahnya tidak menggerakkan dirinya ke arah beramal dengan apa yang diwajibkan ke atasnya di dalam al-Qur'an.

Lemah berfikir:
Golongan yang membaca al-Qur'an tetapi tidak memahaminya, tidak akan dapat berfikir dengan baik dan jitu. Cara berfikirnya adalah lemah dan terhenti setakat dunia semata-mata. Firman Allah – Ta'ala: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berpaling daripadanya sedangkan kamu mendengar. Janganlah kamu jadi seperti orang yang mengatakan: “Kami mendengar,” padahal mereka tidak mendengar.” Sesungguhnya binatang yang paling jelik di sisi Allah adalah orang-orang yang pekak, bisu lagi tidak berakal.” (8:20-22) Golongan ini lebih mudah mengikut adat tradisi (5:104) dan kebiasaan orang ramai. (6:116)
Keraguan: Golongan yang membaca al-Qur'an tetapi tidak memahaminya sentiasa berada dalam keraguan. Ia mempamerkan imej orang yang beriman, tetapi tidak dapat menzahirkan amalan menepati amalan orang-orang yang beriman. Ia melakukan amalan syirik dan bid'ah dalam keadaan tidak sedar. Perhatikan firman Allah – Jalla wa 'Azza: “Sebahagian orang ada yang mengaku beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, padahal mereka bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka itu tidak lain adalah menipu diri mereka sendiri dalam keadaan mereka tidak sedar. Di dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah tambahkan buat mereka penyakit dan bagi mereka seksaan yang pedih disebabkan apa yang dahulunya mereka dustakan. (2:8-10)

Mengolok-olok:
Golongan yang membaca al-Qur'an tetapi tidak memahaminya mudah tergelincir atau tersasul melakukan hal-hal yang boleh dibaca sebagai mengolok-olok dan tidak mengacuhkan perintah Allah dalam keadaan mereka tidak sedar. Firman Allah – Ta'ala: “Celakalah bagi orang-orang yang ingkar dengan seksaan yang keras. Iaitu, orang-orang yang lebih menyukai kehidupan dunia berbanding akhirat dan menghalang daripada jalan Allah dan menginginkannya menjadi bengkok. Mereka itu berada dalam kesesatan yang jauh.” Golongan inilah yang dikeluhkan Rasul – sallalLahu 'alayhi wa sallam – kepada Allah – Jalla wa 'Azza – tentang punca yang menyebabkan mereka menjadi penghuni neraka. Firman Allah – Tabaraka wa Ta'ala – menceritakan: “Rasul mengadu: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku jadikan al-Qur'an ini barang yang tidak diacuhkan.” (25:30)

Gemar berdebat:
Golongan yang membaca al-Qur'an tetapi tidak memahaminya akan bercakap ikut sangkaan tanpa merujuk kepada dalil. Al-Qur'an yang dibaca bukan untuk dihayati, tetapi sebagai modal untuk berhujah dan berdebat. Ia gemar mencari salah orang, tetapi melupai kekurangan diri. Golongan ini diperdayakan oleh syaitan, lalu gemar bercakap walaupun tanpa ilmu, tanpa dalil. Allah – Jalla wa 'Ala – mengingatkan: “Dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya ia adalah musuh yang nyata bagi kamu. Sesungguhnya ia tidak lain menyuruh kamu melakukan kejahatan, perbuatan sumbang dan bercakap tentang Allah apa yang kamu tidak tahu.” (2:168-169) Firman Allah: "Sebahagian orang ada yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan dan mengikut setiap bisikan syaitan yang jahat." (22:3)

والله أعلم وأحكم, وصلى الله على نبينا محمد وآله وصحبه وبارك وسلم

Dipetik dari artikel tulisan Ustaz Baharuddin Ayudin

No comments:

Post a Comment

Selepas 7 tahun berlalu..:)

Cepat benar masa berlalu kerana diam tak diam sudah melepasi 7 tahun (2011 - 2018) saya mengalami kecederaan tulang belakang di Lumbar (L4/...