Tuesday, July 26, 2011

Perkongsian Bacaan: Putus Asa Untuk Meraih Syurga ?

Apabila kita bertanya Si Fulan : " Wahai Si Fulan, apakah yang paling tinggi ingin kau jadi dalam kehidupan agama ini dan apakah posisi yang kau harapkan di dalamnya ? Adakah engkau pernah bercita-cita untuk menjadi orang yang bertaqwa, orang yang saleh, ulama, mujtahid atau orang yang berjihad di jalan Allah ? "

Si Fulan lantas dengan tenang menjawab : " Cukuplah aku hanya menjadi orang biasa seperti kebanyakan orang hari ini. Cukuplah aku tahu sekadar sahaja mengenai agama dan ikut sahaja orang ramai. Asalkan aku senang dan boleh bersuka ria tanpa duka. Orang macam aku ni tak payah la jadi orang saleh, ulama atau mujtahid tu. Kita bukannya layak dan kita ni tak baik. Siapalah kita. "

Jika kita melihat jawapan Si Fulan secara sekali pandang, kita akan melihat jawapan Si Fulan kelihatan benar pada zahirnya tetapi pada hakikatnya dia sebenarnya sudah menempah tempatnya di akhirat pada tempat yang tidak selamat dan sangat diragui statusnya. Bukankah jika itu targetnya yang paling tinggi, maka segala amalannya akan dilakukan berpaksikan kepada had targetnya ? Dalam hal keduniaan kita tahu jika kita inginkan 8 A mestilah target awalnya 10 A. Namun mengapa cara fikir itu tidak digunakan untuk memburu negeri akhirat ? Itulah dinamakan pilihan seseorang kerana Allah sudah membocorkan di dalam Quran dan Sunnah tentang perkara baik dan buruk serta kesan-kesannya. Manusialah yang harus berfikir untuk memilih jalannya sendiri samaada ingin menempuh jalan yang benar atau jalan kebinasaan.

Allah berfirman: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan penolongmu ( sahabatmu ) kaum yang dimurkai Allah, sesungguhnya mereka telah putus asa terhadap negeri akhirat sebagaimana berputus asanya orang-orang kafir yang telah berada dalam kubur ( Surah Al Mumtahanah ayat 13 )

Daripada ayat yang mulia ini, cuba kita perhatikan sambil berfikir tentang perbandingan yang Allah tunjukkan kepada kita. Lihatlah bagaimana Allah menyamakan orang hidup yang sudah berputus asa terhadap kebaikan akhirat dengan orang kafir di dalam kubur yang juga berputus asa terhadap akhirat. Ayat ini jika difahami dengan benar oleh pelaku maksiat yang tegar, pasti akan membuatkan bergetar kulit dan jantung mereka kerana takut kepada Allah jika ketika itu mereka mendapat hidayah. Apabila difikir secara rasional, alangkah terhinanya mereka kerana berputus asa dengan kebahagiaan akhirat walaupun masih hidup dan bernyawa. Mereka juga belum berada di dalam kubur dan masih berpeluang untuk memburu syurga. Tentu tersentak ia sebentar dan tersedar dari mimpi yang panjang hasil bisikan Iblis yang berterusan.

Cuba kita ingat kembali ketika zaman kanak-kanak kita sangat takut dengan apa sahaja unsur yang mengandungi dosa di sisi Allah. Pada zaman kanak-kanak, dosa-dosa pertama dan terawal membuatkan jiwa kita terasa takut dan gusar dengan dosa yang dilakukan. Perasaan takut dan gusar terhadap dosa itu meningkat sehinggalah umur baligh. Selepas mengalami proses baligh, kita akan mengira-ngira setiap dosa baru yang dilakukan kerana takut ianya akan dihisab di akhirat. Dari mana datangnya ketakutan terhadap dosa yang sangat semulajadi itu ? Ya inilah bukti kita benar-benar sudah berjanji taat setia kepada Allah sejak dari dalam kandungan dan kita lahir dalam keadaan fitrah ( Islam ). Maka wajarlah kita merasa takut setelah mula berjinak-jinak untuk memungkiri janji yang sudah dibuat antara kita dan Allah SWT.

Namun apabila umur kita makin meningkat dewasa, tidak larat lagi untuk kita mengira-ngira dosa kerana terlalu banyak dosa yang datang kepada kita sehingga kita jadi begitu lali dengan dosa dan akhirnya pilihan terakhir adalah berputus asa. Lalu syaitan memujuk untuk menganggap diri kita sudah tidak ada harapan lagi untuk mencium bau syurga. Itulah bisikan dan tipu daya Iblis yang paling berjaya menipu banyak anak Adam dari dulu sehingga kini. Adakah selepas menyedari semua hakikat ini kita masih lagi berani untuk meletakkan target yang tidak selamat di negeri akhirat ? Semoga kita semua ditempatkannya di dalam syurga dan dimatikan di dalam Islam yang lurus.

Pernah dalam suatu keadaan kita merasakan bahawa solat kita sangat berkualiti dan sangat dekat hubungan kita dengan Allah. Kadangkala kita rasakan solat kita biasa sahaja dan tidak terlalu khusyuk. Kadangkala kita merasakan diri ini sentiasa diperhatikan oleh Allah dengan teliti dan ada kalanya kita memujuk diri ini untuk berpura-pura terlupa seketika mengenainya demi memberi laluan kepada perbuatan dosa. Ini membuktikan bahawa iman itu bertambah dan berkurang. Kita tidak akan menyaksikan berkurangnya kemanisan iman yang kita alami itu melainkan ia berkurang dengan dosa dan maksiat kepada Allah. Maka hakikat iman yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW lebih 1400 tahun dahulu benar-benar wujud dan dapat dirasai ! Oleh itu berlindunglah kepada Allah daripada tipu daya syaitan dan pohonlah supaya jantung hati kita sentiasa ditetapkan di atas landasan agama.

Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran 135-136:

" Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang- orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal."

Wallahua'lam.



Sumber: FB الرحمن الرحيم

No comments:

Post a Comment

Selepas 7 tahun berlalu..:)

Cepat benar masa berlalu kerana diam tak diam sudah melepasi 7 tahun (2011 - 2018) saya mengalami kecederaan tulang belakang di Lumbar (L4/...