BILAL BIN RABAH R.A.
Dilulus Oleh:Bukitbesi Online | Tuesday, November 28 @ 18:49:21 MYT
Beliau berada di dalam rombongan kafilah Nabi s.a.w., ketika mana Jibril a.s. turun membawa wahyu (dari langit). Antara mereka yang terpilih di dalam kumpulan penegak kebenaran, pada hari-hari Nabi Muhammad s.a.w. hidup di kalangan mereka. Itulah Bilal, seorang hamba berketurunan Habsyi (Ethopia) mengambil tempatnya di dalam kelompok awal (senior) yang memeluk Islam. Statusnya sebagai seorang hamba abdi tidak menghalangnya untuk membebaskan jiwa dan rohnya kepada Allah. Status itu juga tidak pernah menghalangnya dari menjawat jawatan bendahari (khazin) dan tukang azan (muazzin) Rasulullah s.a.w.
Beliau tidak memeluk Islam kerana ternampak kelibat habuan duniawi di dalam dakwah Nabi Muhammad s.a.w., (kerana dakwah Rasulullah tidak begitu). Beliau memeluk Islam ketika (suasana yang meruncing) di mana setiap orang yang memeluk Islam di sekelilingnya diuji dengan pelbagai seksaan. Kalimah `La Ilaha Illallah' merupakan satu revolusi yang dicetuskan dan disemarakkan oleh aqidah. Satu kebangkitan menentang kezaliman manusia terhadap diri sendiri, agar mereka tidak menyembah hawa nafsunya selain Allah.
Juga satu kebangkitan menentang kezaliman seseorang insan terhadap saudaranya insan yang lain, agar semua manusia berlaku adil antara satu sama lain kerana Allah s.w.t.. Ia adalah satu revolusi mutlak yang menyanggah semua yang bersikap zalim tidak mengira bangsa dan warna kulit. Lantas aqidah ini telah menemui kadernya pada diri hamba habsyi yang berkulit hitam ini. Pada ketika kezalimannya pada diri sendiri agak minima tetapi kezaliman manusia lain terhadapnya sampai ke tahap maksima.
Bilal merupakan antara tujuh orang yang pertama memeluk Islam. Beliau menerima penyeksaan yang tidak pernah diterima oleh orang lain. Beliau tetap teguh dengan keyakinannya, sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh orang lain yang merdeka.
Abdullah berkata: Orang yang mula-mula mengisytiharkan keislaman mereka ialah: Rasulullah s.a.w., Abu Bakar as-Siddiq, Ammar bin Yasir serta ibunya Sumaiyyah, Suhaib ar-Rumi, Bilal dan Miqdad r.a.. Maka Rasulullah s.a.w. (pada waktu itu tidak diancam) kerana bapa saudaranya Abu Talib dan Abu Bakar r.a. pula kerana kedudukannya di dalam kabilahnya. Manakala yang selebihnya (lima orang lagi), mereka telah ditahan oleh kaum musyrikin. Mereka telah dikenakan pakaian besi dan dijemur di dalam terik mentari.
Dalam keadaan penuh keterpaksaan, semua mereka menurut saja apa yang kaum musyrikin mahukan kecuali Bilal (bersama-sama Sumaiyyah dan suaminya Yasir yang menjadi manusia pertama mati syahid-pent). Nyawanya sudah tidak bernilai lagi bagi dirinya, demi mempertahankan aqidah keyakinannya kepada Allah. Begitu juga dia sudah tidak bernilai lagi pada pandangan kaum musyrikin, lalu mereka menyuruh kanak-kanak menyeretnya mengelilingi kota Mekah dengan melalui serata jalan dan lorong yang ada. Ketika itu dia hanya mampu menyebut: Ahad… Ahad (Allah Maha Esa … Allah Maha Esa…)
Kenapa mereka menderanya sedemikian rupa? Adakah kerana mereka merasakan diri mereka lebih gah dan lebih hebat dari hamba ini, yang berani menganut aqidah yang bertentangan dengan aqidah mereka? Atau adakah kerana mereka memandang hina kepadanya, lalu dicurahkan seluruh api kemarahan dan dendam kesumat mereka ke atasnya? Jika kerana faktor pertama (sifat besar diri), keteguhannya menghadapi situasi tersebut telah menyemarakkan lagi api kemarahan mereka. Jika kerana faktor kedua (memandang hina), Allah s.w.t. telah membalas penghinaan itu ke atas diri mereka sendiri ketika beliau dibeli oleh Abu Bakar r.a. untuk dibebaskan.
Ismail bin Qis menceritakan: Ketika Bilal menderita ditindih dengan batu, Abu Bakar membelinya dengan harga lima tahil emas. Kaum musyrikinpun berkata: Kalau kamu hanya sanggup membelinya dengan harga satu tahil emas, sudah tentu kami akan menjualnya. Lalu Abu Bakar menjawab: Kalau kamu hanya akan menjualkannya dengan harga seratus tahil emas, nescaya aku sanggup membelinya. Mulut mereka terlopong, terkejut dan marah mendengarkan kata-kata Abu Bakar (yang tidak disangka-sangka itu).
Nabi s.a.w. telah memberikan kepercayaan penuh kepadanya sepanjang hayat baginda. Ketika Nabi s.a.w. mempercayainya, itu bermakna langit telahpun mempercayainya. Ini sudah cukup untuk menggambarkan kelebihannya, sesuatu yang Allah s.w.t. hanya berikan kepada orang yang dikasihi-Nya sahaja.
Rasulullah s.a.w. menjadikan Bilal sebagai pengurus harta baginda (khazin/bendahari). Perkara ini diceritakan oleh Abdullah al-Hawazini:
" Aku bertemu dengan Bilal dan aku berkata kepadanya: Ceritakan kepadaku berkenaan perbelanjaan Rasulullah s.a.w.? Bilal berkata: Baginda tidak mempunyai apa-apa hartapun. Akulah yang menguruskannya semenjak baginda diutuskan (menjadi rasul) sehingga baginda wafat. Apabila seorang muslim datang kepada baginda dengan pakaian yang tidak sempurna, baginda akan memerintahkan aku untuk menguruskannya. Lalu aku akan pergi meminjam wang (dari orang lain), kemudian aku belikan pakaian dan makanan untuk orang tersebut."
Bilal merupakan pengurus khazanah Rasulullah dan apakah sebenarnya khazanah itu? Ia tidak lain kecuali gedung akhlak terpuji hasil dari jiwa yang hening (dari tarikan duniawi), sifat jujur, dan reda (dengan ketentuan). Rasulullah s.a.w. pernah menziarahi beliau, sedang di sisinya ada selonggok buah kurma.Baginda bertanya maksudnya:
"Wahai Bilal, apakah semua ini? Bilal menjawab: Wahai Rasulullah, aku menyimpannya untukmu dan untuk tetamu rumahmu. Lalu Rasulullah bersabda: Tidakkah kamu takut ia akan menjadi bahan bakar api neraka? Belanjakanlah dan janganlah kamu takut berlaku kekurangan rezeki dari Tuhan yang mempunyai Arasy (Allah s.w.t.)."
Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:
"Aku telah diancam kerana agama Allah sedangkan orang lain tidak sedemikian. Aku juga telah disakiti kerana agama Allah sedangkan orang lain tidak begitu. Pernah satu ketika, selama tiga puluh hari berturut-turut, aku dan Bilal tidak mempunyai sesuatu apapun untuk dimakan kecuali secebis makanan yang boleh disembunyikan oleh Bilal di bawah ketiaknya (kerana terlalu sedikit)."
Beliau hidup sedemikian rupa di atas ribaan dan belai kasih kenabian. Begitu jugalah beliau berhubungan terus dengan akhlak Nabi. Oleh itu, kamu jangan merasa hairan apabila kamu dapati Rasulullah s.a.w. menyuruhnya melakukan sesuatu perkara yang tidak pernah diperintahkan kepada orang lain. Rasulullah pernah berkata kepadanya:
"Wahai Bilal, hendaklah kamu mati sebagai seorang yang fakir dan bukannya sebagai seorang yang berada.
Sedangkan Rasulullah sendiri pernah menyatakan: Alangkah baiknya harta yang elok dimiliki oleh orang yang soleh".
Namun itulah keistimewaan yang telah diberikan oleh Rasulullah kepada orang yang Allah telah kurniakan kepadanya gelaran sahabat. Itulah juga satu bentuk piawaian bertahap tinggi yang Rasulullah gunakan untuk para sahabat terdekatnya. Seolah-olah harga sebuah persahabatan bimbingan para nabi menuntut mereka bersikap memberi atau menyumbang bukan menerima. Kemudian mereka berlalu pergi, menuju kepada Allah dalam keadaan ringan (tanpa soal-jawab tentang harta kekayaan).
Selepas Rasulullah berkata “Wahai Bilal, hendaklah kamu mati sebagai seorang yang fakir dan bukannya sebagai seorang yang berada”. Lalu Bilal bertanya: Bagaimana aku boleh menjadi seperti itu? Baginda menjawab:
"Apa yang telah direzekikan kepada kamu, maka kamu jangan menyimpannya dan apa saja yang diminta dari kamu jangan kamu enggan memberinya.
Bilal bertanya lagi: Bagaimana aku mampu berbuat demikian?
Baginda menjawab: Itulah caranya (yang mesti dilakukan) ataupun api neraka (sahaja sebagai balasan kerana tidak bersikap demikian)".
Bilal r.a. adalah seorang yang berhati lembut dan berjiwa bersih, senantiasa mengingati Allah s.w.t.. Sabda Rasulullah:
"Aku telah mendengar di dalam syurga bunyi geseran tapak kaki di hadapanku. Aku bertanya: Siapakah itu? Mereka (Malaikat) menjawab: Itulah Bilal bin Rabah.
Selepas itu Rasulullah s.a.w. memberitahunya tentang perkara tersebut dan baginda bertanya:
Dengan amalan apakah kamu telah mendahuluiku masuk ke syurga?
Bilal menjawab: Wahai Rasulullah, setiap kali aku berhadas, aku akan berwuduk dan setiap kali aku berwuduk, aku rasa bertanggungjawab kepada Allah untuk sembahyang dua rakaat, lalu aku melakukannya. (Kesimpulannya), beliau sentiasa berada di dalam keadaan berwuduk selagi mana beliau masih jaga (tidak tidur). Itulah gambaran sebenar hubungannya dengan Allah s.w.t..
Beliau mempunyai suara yang lunak merdu dan nyaring. Oleh kerana itu, Rasulullah suka mendengar suaranya. Allah mengurniakan kepadanya dengan satu kemuliaan yang tidak pernah diberikan kepada sesiapapun sebelumnya, kerana beliaulah orang yang pertama melaungkan azan dalam Islam. Maka berkumandanglah suara Islam buat kali pertamanya dari mulut seorang hamba berbangsa Habsyi yang telah memeluk Islam dari mulut Bilal bin Rabah, supaya orang ramai sedar tentang kelebihannya dan juga supaya mereka tahu bahawa tiada bezanya di antara orang berkulit putih dengan orang berkulit hitam.
Semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a., Bilal bersiap sedia untuk berpindah ke negeri Syam. Abu Bakar berkata kepadanya: Kami rasa kamu tidak patut meninggalkan kami dalam keadaan seperti ini. (Alangkah baiknya) kalau kamu boleh tinggal bersama kami dan menolong kami (dalam urusan pentadbiran dan sebagainya).
Bilal berkata: Jika dahulu kamu bebaskan aku semata-mata kerana Allah Taala, biarkanlah aku pergi. Tetapi sekiranya kamu bebaskan aku untuk dirimu sendiri, tahanlah aku di sini bersamamu. Mendengar kata-katanya itu, Abu Bakar pun memberi izin kepadanya untuk pergi. Lalu Bilal berangkat keluar ke negeri Syam dan terus menetap di sana sehingga ke akhir hayat.
Semoga Allah reda kepadanya dan memberikannya berbagai kurniaan dalam syurga. Dan semoga Allah menghimpunkan kita bersamanya dalam kelompok orang-orang yang soleh. Amin.
No comments:
Post a Comment