Saturday, May 19, 2012

Perkongsian Bacaan: Samakah Yang Buta dengan Yang Celik.


Nota Penuh Kuliah Subuh oleh Ustaz Baharuddin Ayudin bertajuk:

Samakah Yang Buta dengan Yang Celik.

Surah al-Fatir: [35:18-23] Terjemahan: Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain, dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah memberi peringatan kepada orang-orang yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhan semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, serta mereka mendirikan salat. Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali. [19] Dan tidaklah sama orang buta dengan orang yang melihat. [20] Dan tidaklah sama gelap-gelita dengan cahaya yang terang-benderang. [21] Dan tidaklah sama suasana yang teduh dengan yang kencang panasnya. [22] Dan (Demikianlah pula) tidaklah sama orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah, (menurut undang-undang peraturan-Nya), dapat menjadikan sesiapa yang dikehendakinya mendengar (ajaran-ajaran Kitab Allah serta menerimanya), dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya). [23] Engkau tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.

1. Ayat ini menjelaskan tentang hukum dan peraturan yang telah Allah - Jalla wa 'Ala - tetapkan, bahawa tiada sesiapa pun boleh menanggung dosa orang lain. Tiadalah bagi manusia itu melainkan apa yang ia sendiri usahakan. [53:39]. Jika ia menginfaqkan hartanya, maka ia beroleh kebaikan daripadanya. Jika ia bakhil, maka ia merugikan dirinya sendiri. Tiada sesiapa pun yang dapat menghadiahkan pahala kepadanya, baik ketika ia masih hidup dan juga selepas ia mati. Daripada Abu Hurayrah, katanya: RasululLah - SallalLahu 'alaihi wa sallam - bersabda: 

"Apabila meninggalnya seseorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali daripada tiga perkara: Kecuali daripada sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkannya atau anak soleh yang mendoakannya." - Sahih Muslim, 14-[1631]. Kata al-Imam al-Shafiiy - rahimahulLah:

"Bahawa menghadiahkan pahala bacaan al-Qur'an itu tidak sampai kepada si mati kerana ia bukan hasil amalan dan usahanya. Oleh kerana itu, amalan ini tidak pernah dianjur dan dibimbing, baik menerusi nas atau isyarat. Bahkan amalan sedemikian tidak pernah disebutkan bahawa ia dilakukan oleh mana-mana sahabat - radiyalLahu 'anhum. Jika amalan tersebut baik, tentulah mereka lebih dahulu melakukannya daripada kita. Dalam bab qurubat ini, kita hendaklah berpada merujuk kepada dalil, bukan berpandukan kepada qiyas atau pendapat orang. Adapun doa dan sedekah, maka ijma' kaum muslimin tentang sampai pahalanya menurut sebagaimana yang diterangkan nas mengenainya." - Tafsir al-Qur'an al-Azim, [7:465]

2. Ini adalah peringatan. Namun begitu peringatan ini tidak akan berguna melainkan kepada orang yang mahu mengikut petunjuk Allah dan takutkan-Nya walaupun ia tidak melihat-Nya dan tidak melihat azab-Nya. [36:10-11] Ini semua hanya mungkin dapat dilakukan oleh orang yang hatinya sentiasa berhubung dengan Allah. Antaranya menerusi ibadat salat yang telah ditetapkan waktunya setiap hari. Justeru salat itu sendiri adalah munajat seorang hamba kepada Tuhannya. Daripada Anas bin Malik, katanya: RasululLah - SallalLahu 'alaihi wasallam - bersabda:

"Sesungguhnya seseorang kamu apabila bangun mendirikan salat, maka sesungguhnya ia sedang bermunajat kepada Tuhannya." - Sahih al-Bukhariy [405].

Selain itu, segala peringatan itu hanya berguna kepada orang yang mahu membersihkan diri daripada syirik dan istiqamah mencari keredhaan Allah dengan mentawhidkan-Nya semata-mata.

‎3. Apabila tibanya hari di mana datangnya bunyi yang memekakkan. Langit pada hari itu digulungkan, [39:67] bintang-bintang berguguran, [89:2] lautan meluap-luap, [89:3] gunung-ganang dihancurkan. [81:3] Kehidupan dunia yang dahulunya dipuja dan dimegahkan sudah tiada. Ia sudah punah dan binasa. Kemudian roh dipertemukan semula kepada tubuhnya. [81:7] Kesemua amalan manusia akan dihisab. Pada hari itu kehidupan adalah sendiri-sendiri. Pada hari itu manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapanya, dari isteri dan anak-anaknya. [80:34-37] Seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat menolong bapanya. [31:33] Pada hari itu yang berguna ialah IMAN dan AMAL SALIH ketika di DUNIA ini. [26:88-89]

4. Samakah orang yang buta [11:24] dengan orang yang melihat? [6:122] Samakah di antara zulumat [6:39] dengan nur? [33:43] Samakah di antara teduh [56:27-37] dengan panas terik? [56:41-44] Samakah di antara hidup dengan yang mati? [6:122] 

Wallahu a'lam. 

Edited by Me [Hafidz Ben Rahman] 

No comments:

Post a Comment

Selepas 7 tahun berlalu..:)

Cepat benar masa berlalu kerana diam tak diam sudah melepasi 7 tahun (2011 - 2018) saya mengalami kecederaan tulang belakang di Lumbar (L4/...