Friday, September 24, 2010

MAKNA TILAWAH

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين, وبه نستعين, والصلاة والسلام على رسول الله,
وعلى آله وصحبه أجمعين
سلام الله عليكم ورحمته وبركاته

Salahkah jika saya membaca al-Qur'an tanpa memahami maknanya? Demikianlah antara reaksi terhadap ajakan memahami al-Qur'an dan mentadabbur ayat-ayatnya. Marilah kita renung sejenak, tujuan sebenar penurunan al-Qur'an itu? Bukankah untuk ditadabbur ayat-ayatnya dan diamalkan segala tuntutannya? Perhatikan firman Allah - Jalla wa 'Azza: "Ini adalah sebuah kitab yang penuh berkat, Kami turunkannya kepadamu supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang berfikir itu dapat mengambil pelajaran." (38:29) Dapatkah seseorang itu memikir dan mengambil pelajaran jika tidak memahami apa yang dibacanya? Dapatkah diharap suatu perubahan atau tindak balas daripada mesej yang tidak difahami isi kandungannya?

2. Kalimah tilawah atau qira'ah dalam bahasa Arab, kedua-duanya menunjukkan makna yang sama, iaitu bacaan. Sudah tentu ia bukan sekadar bacaan kosong tanpa sebarang kefahaman, justeru tiadalah seseorang itu disebut membaca sekiranya ia tidak memahami apa yang dibacanya. Tilawah yang betul mendorong dan membimbing para pembacanya mengikut dan mengamalkan apa yang dibacanya, sama ada berupa perintah atau larangan. Firman Allah - Jalla wa 'Ala: "Orang-orang yang Kami kurniakan kepada mereka al-Kitab, mereka melakukan tilawah dengan tilawah yang sebenar-benarnya, mereka itu adalah orang-orang yang beriman dengannya." (2:121) Kata Amir al-Mu'minin 'Umar bin al-Khattab - radiyalLahu 'anh - tentang makna tilawah: "Apabila bertemu sebutan tentang syurga, ia memohon kepada Allah syurga. Apabila bertemu sebutan tentang neraka, ia berlindung kepada Allah daripada neraka." (Tafsir Ibn Kathir, 1:403) Menurut mufassir sahabiy, Abu 'Abd al-Rahman, 'AbdulLah bin Mas'ud - radiyallahu 'anh: "Demi Allah yang diriku di tangan-Nya, sesungguhnya bacaan yang sebenar-benarnya itu ialah menghalalkan apa yang halal dan mengharamkan apa yang haram, membacanya sebagaimana yang Allah turunkan, tidak mengubah kalam daripada kedudukannya dan tidak mentakwilkan sesuatu bukan kepada takwilnya." (Tafsir Ibn Kathir, 1:403) Demikian juga pendapat Habr al-Ummah, 'AbdulLah bin 'Abbas - radiyalLahu 'anhuma. Manakala al-tabi'i al-jalil, al-Hasan al-Basriy – rahimahulLah – menyifatkan golongan yang memahami apa yang dibacanya itu ialah: "Mereka yang mengamalkan ayat yang muhkamat, beriman dengan ayat yang mutashabihat dan menyerahkan kekeliruan kepada yang mengetahui tentangnya." (Tafsir Ibn Kathir, 1:403)

3. Kesimpulannya, berdasarkan keterangan ahli bahasa serta mufassir sahabiy dan tabi'in, maka makna tilawah, qira'ah dan bacaan itu tidak akan bermakna tanpa kefahaman yang membolehkan seseorang itu membezakan di antara perintah dan larangan, halal dan haram, rahmat dan seksaan, anjuran dan ancaman, muhkamat dan mutashabihat, ayat penyata dan doa serta soalan dan sindiran. Golongan yang melakukan tilawah, tetapi tidak memahaminya adalah golongan ummiy yang disebut Allah menerusi firman-Nya: "Dan di antara mereka ada yang buta huruf, tidak mengetahui tentang al-Kitab melainkan angan-angan dan mereka itu hanya menduga-duga." (2:78) Allah mengumpamakan golongan ini bagaikan keldai yang memikul lembaran-lembaran kitab yang tebal tetapi sedikit pun tidak memahaminya. Firman Allah: "Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Tawrat, kemudian mereka tidak memahami dan mengamalkannya adalah sama seperti keldai yang memikul kitab-kitab yang tebal." (62:5) Seterusnya Allah berfirman: “Perumpamaan mereka seperti anjing, jika kamu menghalaunya ia menjelir lidah dan jika kamu membiarkannya ia tetap menjelir lidah.” (7:176) Ingatlah, tiada perubahan yang dapat diharap tanpa kefahaman yang betul, Marilah kita semua berusaha ke arah memahami al-Qur'an dan menghayatinya dalam kehidupan seharian. Tiada jalan singkat ke arah itu melainkan dengan bersungguh-sungguh mencarinya.

اللهم اهدنا واشرح صدورنا لفهم كلامك وكلام رسول
وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين, والحمد لله رب العالمين

Dipetik dari notes Ustaz Baharuddin Ayudin. - Jazakallah.

No comments:

Post a Comment

Selepas 7 tahun berlalu..:)

Cepat benar masa berlalu kerana diam tak diam sudah melepasi 7 tahun (2011 - 2018) saya mengalami kecederaan tulang belakang di Lumbar (L4/...