Seorang Islam tidak boleh memandai-mandai dalam membuat keputusan. Baik kita sebagai isteri, suami , pemimpin ataupun rakyat, wajib merujuk kepada syariat dalam setiap perlakuan, keputusan dan pertimbangan. Percayalah pada setiap sekecil-kecil perkara hingga kepada sebesar-besarnya, hukum syariat yang lima – wajib (halal), haram, sunat, makruh dan harus sentiasa memantau kita.
Apakah sekecil-kecil perkara yang boleh dijadikan contoh? Katalah menguap. Itu satu contoh yang sangat kecil, Bagi sesetengah orang menguap hanyalah soal remeh. Tetapi sebenarnya tidak begitu. Menguap itupun tertakluk pada lima hukum. Menguap boleh jadi wajib, boleh jadi haram, sunat, makruh atau harus. Bagaimana ya?
• Menguap jadi wajib sekiranya dengan tidak menguap boleh memudaratkan tuan punya badan. Katalah kita terlalu mengantuk… menguap adalah tindakan biologi seseorang yang mengantuk. Tetapi oleh kerana kita malu (di khalayak ramai atau di majlis-majlis tententu), kita menahan diri untuk menguap sehingga ke tahap yang boleh memudaratkan (jatuh pengsan atau sakit kepala). Maka ketika itu wajib kita menguap. Wajib ertinya, perlu menguap dan diberi pahala. Sekiranya tidak menguap jatuh dosa.
• Menguap jatuh haram sekiranya kita pura-pura menguap untuk menyakitkan hati orang lain. Katalah semasa mendengar satu ceramah, kita bosan dan benci pada penceramahnya. Lalu kita pura-pura menguap untuk ‘memberitahu’ penceramah kita benci atau bosan. Menguap ketika itu menjadi isyarat untuk ‘menghalau’ atau menyuruh sipencermah sakit hati dan berhenti. Pada waktu itu menguap jatuh haram. Dibuat berdosa, ditinggalkan berpahala.
• Menguap hukumnya sunat jika dilakukan mengikut sunnah Rasulullah, yakni dengan menutup mulut dan membaca taawwuz . Kerika itu berdoa kelihatan sopan dan tertib sekali. Bukan sahaja indah dipandang mata manusia, tetapi disukai oleh Allah. Dengan menguap seperti itu, hukumnya sunat. Sangat digalakkan dan diberi pahala.
• Menguap hukumnya harus dalam mana-mana posisi tubuh. Harus menguap dalam keadan berdiri, duduk atau berbaring. Tidak semestinya menguap mesti dalam keadaan duduk. Ertinya, boleh menguap dengan ‘gaya bebas’. Harus hukumnya.
• Bila menguap jatuh makruh? Perbuatan makruh, walaupun tidak haram, tetapi ntidak disukai Allah dan hodoh pada pandangan manusia. Menguap jatuh makruh sekiranya dilakukan tanpa sopan misalnya membuka mulut lebar-lebar tanpa menutupnya. Hingga dengan itu kelihatan begitu buruk dan cela dipandang orang. Allah tidak suka cara menguap begitu. Kebencian Allah ke atas perkara-perkara makruh, walaupun tidak berdosa tetapi elok sangat ditinggalkan. Malah, jika ditinggalkan berpahala pula.
Tetapi AWAS...menguap dalam solat..sebenarnya adalah gangguan syaitan..
No comments:
Post a Comment